Thursday, 23 June 2011

Kelayakan Pra Olimpik

Benam Lebanon 2-1

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my


PENYUDAH kemas daripada penyerang skuad negara Wan Jack Haikal ketika menjaringkan gol kedua pada aksi menentang Lebanon di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

--------------------------------------------------------------------------------


MALAYSIA melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Lebanon 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi meskipun terpaksa beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir.

Jaringan Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan laluan Malaysia ke pusingan seterusnya meskipun Chadi Atie berjaya mengubah kedudukan kepada 2-1 pada separuh masa kedua.

Aksi skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mendapat sokongan padu daripada 10,000 peminat tempatan.

Malaysia mara dengan agregat 2-1 setelah mencatat keputusan seri 0-0 pada aksi pertama di Beirut pada Ahad lalu.

Dengan kejayaan itu, Malaysia kini berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik dan satu slot playoff ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Pada aksi malam tadi, Kim Swee melakukan dua perubahan dengan Affize Faisal Mamat menggantikan Mahali Jasuli yang digantung satu perlawanan manakala Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan tempat Izzaq Faris Ramlan.

Jurulatih Lebanon, Samir Saad pula hanya menukar seorang pemain iaitu Jad Noureddine yang diturunkan untuk mengambil alih posisi Hassan Chaito.

Malaysia tidak menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit kelapan menerusi rembatan Irfan dari dalam kotak penalti selepas berlaku keadaan kelam-kabut berpunca daripada sepakan sudut Wan Zack Haikal.

Di sebalik penguasaan penuh Malaysia, Lebanon hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kiri pemain sayap, Mohamad Haidar sekadar menggegar palang gol.

Malaysia terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-40 hasil penyudah kemas Wan Zack selepas menerima lorongan baik Gary Steven Robbat dari bahagian tengah.

Namun malang menimpa Gary Steven apabila dia dibuang padang pada minit ke-50 selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari pemain Lebanon.

Akibatnya, Lebanon berjaya menghasilkan gol pertama pada minit ke-63 menerusi Chadi untuk menjadikan kedudukan 2-1 tetapi Malaysia kental bertahan sehingga wisel penamat.

Kim Swee yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas perlawanan itu menjelaskan:“Ini membuktikan walaupun kita beraksi 10 pemain pada 40 minit terakhir, pemain telah menunjukkan kesungguhan tinggi. Tapi ini baru permulaan, banyak lagi rintangan perlu diharungi pada peringkat kumpulan nanti,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.

Samir pula berkata: “Kami cuba cari gol penyamaan tetapi pemain Malaysia beraksi dengan semangat yang cukup tinggi disebabkan mereka mendapat sokongan padu penyokong.”

Berita Harian Online | Eskay, Shuib mengaku bersalah tayang video seks, Rahim mengaku bersubahat

Berita Harian Online Eskay, Shuib mengaku bersalah tayang video seks, Rahim mengaku bersubahat

Wednesday, 22 June 2011

Kelayakan Pra Olimpik

Buru gol awal elak rasa tertekan - Khairul Fahmi
SKUAD Olimpik negara perlu memburu gol awal bagi memastikan keadaan lebih selesa dan tidak tertekan ketika menentang Lebanon pada aksi kedua pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Kapten skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukannya segera bangkit mencari gol awal sekiranya mahu melayakkan diri ke pusingan ketiga.
"Kami sudah bersedia mengasak kubu lawan dan pertahankan gawang gol habis-habisan selepas seri tanpa jaringan dengan Lebanon di Beirut.
"Saya dan semua rakan sepasukan bertekad mahu memburu kejayaan menentang Lebanon di gelanggang sendiri nanti," katanya selepas tiba bersama skuad Olimpik negara dari Beirut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam.
Khairul Fahmi berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya berharap tidak akan menghampakan semua penyokong negara dan layak ke pusingan ketiga nanti merupakan hadiah kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Saya berharap semua peminat bola sepak tempatan akan membanjiri Stadium Nasional bagi memberi semangat serta sokongan kepada skuad negara," jelas penjaga gol Kelantan ini.
Skuad Olimpik negara mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0 pada Mac lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow, Rusia, tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Tuesday, 14 June 2011

Liga Super

Semangat baharu pasukan Kelantan
"LUPAKAN Piala FA dan fokus untuk langsaikan hutang kekalahan kita di tangan Perak".
Demikian pesan pengurus pasukan Kelan- tan, Azman Ibrahim yang mahu semua pe- main dan peminat bola sepak negeri itu me- lupakan episod duka mereka di Bukit Jalil, Sabtu lalu, sebaliknya memberi perhatian kepada perebutan gelaran juara Liga Super.
Tanpa berselindung, beliau tidak menafi- kan yang moral para pemain masih berada pada tahap rendah, namun semakin pulih menjelang pertemuan dengan Perak di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
"Kita sedang melalui proses pemulihan mental para pemain. Selepas apa yang berlaku Sabtu lalu, rata-rata semua pemain ter- paksa melalui saat yang sukar, namun mereka sudah boleh menerima hakikat dan ber- sedia untuk turun malam esok (malam ini).
"Bertemu Perak, misi tanpa gagal kita adalah untuk memungut tiga mata penuh untuk mencerahkan peluang kita menjulang gelaran juara Liga Super, selain melangsaikan hutang kekalahan di Ipoh tempoh hari," katanya semalam.
Tambahnya, untuk tempoh dua hari bermula semalam, pihaknya telah mengadakan program 'kuarantin' yang mana para pemain, jurulatih dan pengurusan ditempatkan di satu lokasi secara bersama untuk mereka mengembalikan semula semangat dan kekuatan.
Jelasnya, kegagalan merangkul Piala FA tidak seharusnya dijadikan noktah perjuangan pasukan dan mereka perlu membawa pulang Liga Super sebagai pengubat keke- cewaan para peminat dan seluruh warga Kelantan.
"Kita memerlukan empat mata lagi untuk menjuarai Liga Super. Kemenangan dengan Perak malam esok amat penting, terutama- nya ketika aksi dijadualkan di gelanggang sendiri bagi memudahkan kerja kita ketika bertandang ke Sabah untuk perlawanan terakhir.
"Kelantan tidak mahu kecewa lagi, kita sudah hampir ke penamat dan kita tidak akan biarkan episod hitam kembali menghantui dan saya fikir para pemain perlu cepat melupakan apa yang berlaku dan bersedia untuk melangkah seterusnya," ujarnya.
Dalam pada itu, Azman turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya kekalahan Kelantan kepada Terengganu tempoh hari sebagai suatu yang telah direncanakan lebih awal.
"Khabar-khabar angin tersebut hanya untuk meruntuhkan moral pasukan. Kekalahan tersebut tidak pernah ada dalam rancangan kita dan segalanya telah ditakdirkan. Semua perlu menerima hakikat tersebut dan ia bu- kan pengakhiran buat kita," jelasnya.